PETALING JAYA – Teka-teki terjawab, usahawan terkenal Bonda Rozita Ibrahim akhirnya berkongsi foto bersama suami baharunya dalam Instagram, semalam.
Tidak memberikan penjelasan secara terperinci, ibu kepada usahawan Datuk Seri Aliff Syukri itu hanya memuatnaik beberapa keping gambar mesra bersama seorang lelaki di hadapan Kaabah yang dipercayai sedang menunaikan umrah ketika ini.
“Menjawab persoalan pengikut. Bulan Ramadan yang penuh rahmat ini, kami datang kepadaMu dengan hati yang penuh harapan dan tangan yang menadah keampunan.
“Ya Allah, kurniakanlah kami keberkatan di dunia dan kebahagiaan di akhirat. Satukanlah hati kami dengan kasih sayang serta redaMu.
“Temukanlah kami dalam syurgaMu yang abadi. Kami sayang anak-anak kami,berikan mereka kekuatan untuk solat dan beramal kebaikan,” katanya dalam hantaran Instagram.
Selain foto mesra, Rozita turut memuat naik paparan tangkap layar daripada seorang pengikut yang menyatakan rasa hairan punca wanita itu masih merahsiakan statusnya walaupun Islam menuntut untuk uar-uarkan perkahwinan.
“Benda baik kenapa bonda nak sorok suami baru, sampai bila? Rasanya semua netizen dah tahu melalui Ain (anak Rozita), penjelasan yang tidak mendatangkan fitnah kepada kami.
“Saya mendoakan kebahagiaan (tersangat nampaknya). Semoga kekal hingga ke Jannah,” ujar pengikut terbabit.
Dalam hantaran tersebut, pelakon Datin Rebecca Islam yang merupakan adik kepada lelaki terbabit turut meninggalkan komen mendoakan urusan mereka dipermudahkan.
“Alhamdulillah, semoga segalanya dipermudahkan buat Abang Long dan kakak iparku (Rozita). Umrah mabrur, amin,” tuturnya.
Sebelum ini, khabar angin mengenai perkahwinan Rozita bertebaran apabila muncul kelibat seorang lelaki ketika wanita terbabit membuat sesi siaran langsung dalam Instagram bagi mempromosikan produk jualannya.
Lelaki dalam video tersebut didakwa merupakan abang kepada Rabecca namun hantaran berkenaan kemudian dipadamkan.
Menantunya, Datin Seri Shahida pula enggan mengulas tentang dakwaan suami baharu mentuanya memandangkan perkara terbabit bersifat peribadi yang sepatutnya dikongsikan sendiri tuan badan.
Tidak lama kemudian, tular video yang memperlihatkan Rozita sedang melintas jalan di Jepun sambil dipimpin seorang lelaki.
Kemudian, anaknya iaitu Nur Ain Sufiah mengesahkan ibunya sudah bercerai dan mendirikan rumah tangga dengan individu berkumis tebal yang muncul dalam video siaran langsung sebelum ini. – KOSMO! ONLINE