KUCHING – Momentum cemerlang Selangor FC selepas mengharungi 14 perlawanan tanpa kalah berakhir apabila tewas 1-2 kepada Kuching City pada aksi Liga Super sebentar tadi.
Pada aksi di Stadium Negeri, Sarawak itu, skuad Gergasi Merah dilihat berjaya mendominasi perlawanan tetapi ia tidak menghalang tuan rumah untuk mendahului hasil penyudah Ramadhan Saifullah pada minit ke-26.
Bersambung pada babak kedua, pengendali Selangor FC, Katsuhino Kinoshi membuat rombakan dalam kesebelasan utama dan percaturan itu membuahkan hasil apabila pemain gantian, Mukhairi Ajmal Mahadi berjaya menyamakan kedudukan selepas menerima hantaran Quentin Cheng pada minit ke-50.
Tersentak dengan gol tersebut, The Cats menggandakan asakan dan akhirnya meraih gol kemenangan hasil rembatan Jimmy Raymond pada minit ke-84 dengan keputusan 2-1 kekal hingga wisel penamat.
Keputusan tersebut tidak menjejaskan kedudukan Selangor yang kekal di tangga kedua Liga Super dengan meraih 46 mata manakala Kuching City pula melonjak ke kedudukan ketiga dengan 36 mata ketika saingan berbaki dua perlawanan. – KOSMO! ONLINE