PETALING JAYA – “Alhamdulillah, selamat sampai.”
Demikian perkongsian usahawan kontroversi, Muhammad Sajjad Kamaruz Zaman atau dikenali Nur Sajat yang dipercayai sudah pulang ke tanah air selepas beberapa tahun menetap di Australia.
Dalam perkongsian sama, Sajat, 40, turut memaklumkan bahawa tidak kira berapa banyak kelebihan di negara orang tetapi negeri sendiri jauh lebih baik.
“Hujan emas di negeri orang, hujan batu di negeri sendiri.
“Lebih baik di negara sendiri,” katanya sambil memasukkan tanda pagar ‘balik kampung’.
Rata-rata gembira dengan kepulangan Sajat yang bakal menyambut Syawal bersama keluarga tercinta di sini.
“Raya yang amat bermakna tahun ini,” ujar pengikut.
“Macam tak percaya, kalau betul syukur alhamdulillah dapat berkumpul dengan keluarga,”tutur peminat.
“Teruja lihat awak kembali kepangkuan orang tersayang terutama sekali mak, ayah dan anak-anak,” jelas peminat lain.
Selain itu, Sajat juga sempat meninggalkan pertanyaan kepada pengikut mengenai bazar Ramadan yang menarik untuk dikunjungi.
Sajat kini menetap di Australia selepas pihak penguatkuasa Malaysia memburunya di atas beberapa kesalahan syariah yang pernah dilakukan di negara ini.
Sekitar 2021, dia pernah didakwa dengan dua pertuduhan oleh Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) kerana berpakaian seperti wanita dan memuat naik gambar yang tidak sopan di laman sosial Instagram miliknya. – KOSMO! ONLINE