fbpx

Had tempoh jawatan PM 10 tahun bukan perkara baharu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Anwar

PETALING JAYA – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyifatkan cadangan menghadkan tempoh jawatan Perdana Menteri kepada maksimum 10 tahun seiring dengan visi dan kerangka dasar reformasi yang ditekankan dalam gagasan ‘Membangun Negara Madani’ kerana ia bukan perkara baharu.

Setiausaha Akhbar Kanan Perdana Menteri, Tunku Nashrul Abaidah berkata, Anwar berpendapat langkah tersebut bagi memastikan kesinambungan pentadbiran yang bersih serta sistem yang lebih teratur dan mengelak berlakunya pemusatan kuasa yang berisiko menjadi ruang penyelewengan dan
penyalahgunaan kuasa.

“Perdana Menteri berkata, terdapat juga beberapa negara yang telahpun melaksanakan pendekatan ini seperti negara jiran Indonesia sebagai contoh.

“Selain daripada itu, langkah menghadkan tempoh keperdanamenterian seseorang pemimpin juga mengambil kira landskap geopolitik hari ini dan
masa depan yang memerlukan iltizam semua pihak memberi ruang kepada nafas-nafas baharu dan barisan pelapis kepimpinan negara,” katanya dalam Taklimat Harian Pejabat Perdana Menteri hari ini.

Selain itu katanya, Perdana Menteri turut mengingatkan segelintir pihak daripada blok pembangkang agar tidak menjadikan niat murni ini sebagai bahan politik perkauman sempit dan dangkal.

“Roh dan sifat jawatan perdana menteri itu sudah terang lagikan bersuluh seperti mana termaktub di dalam Perlembagaan Persekutuan.

“Menghadkan tempoh jawatan itu nyata tidak bercanggah dengan prinsip-prinsip asas tersebut. Malah, ia adalah langkah penting dalam menjamin kematangan demokrasi negara,” katanya.

Katanya, Perdana Menteri turut meminta mana-mana Ahli Parlimen yang mempersoal perkara ini supaya membaca sebelum mengkritik secara semberono.

“Baca dan hadam buku tulisan Anwar Ibrahim yakni ‘Membangun Negara Madani’. Sila rujuk muka surat 181, di bawah tajuk ‘Dasar Keutamaan Untuk Malaysia Yang Lebih Baik.

“Justeru, Perdana Menteri menyarankan agar ia dibahaskan dengan sihat dan penuh rasa tanggungjawab serta memandang kepada cabaran masa hadapan selain menjemput semua pihak untuk memberikan input ke arah sebuah sistem yang telus dan adil,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI