KAJANG – Mahkamah Tinggi Shah Alam hari ini menetapkan 24 Mac bagi keputusan ikat jamin Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) GISB Holdings Sdn. Bhd. (GISBH) Nasiruddin Mohd. Ali, isterinya Azura Md Yusof dan 19 lagi individu yang didakwa atas pertuduhan menjadi ahli kumpulan jenayah.
Dalam prosiding di Mahkamah Kompleks Penjara Kajang di sini hari ini, Hakim Datuk Seri Latifah Mohd. Tahar menetapkan tarikh itu selepas mendengar hujah daripada kedua-dua pihak hari ini.
Selain Nasiruddin, 66, dan Azura, 58, 19 lagi pemohon lain itu ialah Hasnan Abd Hamid, 54, Mohammad Adib At-Tarmizi Asa’ari, 33, Mohd. Shukri Mohd. Noor, 54, Mokhtar Tajuddin, 61, Shuhaimi Mohamed, 57, Muhammad Afdaluddin Latif, 35, Mohamad Sayuti Omar, 36, Mohd. Fazil Md Jasin, 58, Mohd. Dhirar Fakhrur Razi, 35, Muhammad Zahid Azhar@Nadzri, 52, Abu Ubaidah Ahnad Shukri, 35, dan Muhammad Fajrul Islam Khalid, 29.
Tertuduh lain ialah Asmat@Asmanira Muhammad Ramly ,45, Mahani Kasim, 55, Siti Hajar Ismail, 52, Khalilatul-Zalifah Mohammad Jamil, 28, Nurul Jannah Idris, 29, Nur Jannah Omar, 33, serta Siti Salmiah Ismail, 58.
Terdahulu semasa prosiding, peguam Datuk Rosli Kamaruddin yang mewakili Nasiruddin ketika berhujah dalam rayuan jaminan berkata kedua-dua anak guamnya mempunyai penyakit yang memerlukan rawatan khusus.
“Nasiruddin merupakan bapa 26 anak, mempunyai empat orang isteri dan mempunyai masalah kencing manis yang serius serta pernah mendapat rawatan pada tahun 2018. Selain itu pemohon juga mempunyai masalah jantung dan kerosakan buah pinggang yang memerlukan rawatan sempurna, ” kata peguam itu.
Dalam pada itu, peguam-peguam lain Kamal Hisham Jaafar dan Najib Zakaria dalam rayuan mereka turut memaklumkan pemohon-pemohon akan mematuhi segala syarat tambahan sekiranya dibenarkan ikat jamin.
Mendengar perkara itu, Timbalan Pendakwa Raya Shafiq Hashim berkata Seksyen 13 (2) Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) (SOSMA) telah memberi budi bicara kepada mahkamah untuk mempertimbangkan permohonan jaminan dengan syarat tertuduh memenuhi syarat yang diperuntukkan seksyen itu iaitu seorang individu yang berumur di bawah 18 tahun, seorang perempuan atau seorang yang sakit atau uzur.
“Pemohon hanya sekadar menyatakan menghadapi sakit dan uzur dan layak diberikan jaminan dan penyakit yang mereka hidapi itu adalah penyakit biasa dan penyakit apa yang boleh diterima oleh mahkamah,” katanya.
Selain itu, pihak pendakwaan turut menghujahkan soktor yang merawat pemohon di dalam penjara juga mencukupi selain fasiliti dan ubat-ubatan lengkap serta Pemohon juga pada bila-bila masa boleh mendapatkan rawatan.
Sebelum ini, hanya seorang tertuduh iaitu Hamimah Yakub, 73, dibenarkan diikat jamin RM40,000 dengan dua penjamin oleh mahkamah sama yang mana tertuduh kategori pengecualian termaktub bawah Seksyen 13(2)(b) Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) (SOSMA) 2012.
Pemohon juga diperintah melaporkan diri di Ibu Pejabat Polis Daerah Kajang sekali setiap dua minggu hingga perbicaraan selesai, selain wajib hadir ke mahkamah pada setiap tarikh ditetapkan dan sekiranya sakit, penjamin perlu hadir mengemukakan sijil sakit dari hospital dan klinik kerajaan.
Pada Oktober tahun lalu, kesemua mereka didakwa di Mahkamah Sesyen Selayang namun tiada pengakuan daripada kesemua tertuduh selepas pertuduhan dibacakan. Pengakuan tidak direkodkan berikutan kes itu dibawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.
Mengikut pertuduhan yang dibaca berasingan , mereka didapati menjadi ahli kumpulan jenayah terancang Kumpulan Global Ikhwan Services and Business Holdings (GISBH) di sebuah tempat di Jalan Desa, di Bandar Country Homes, Rawang di sini antara Oktober 2020 hingga 11 September 2024.
Justeru pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 130V(1) Kanun Keseksaan yang membawa penjara tidak kurang lima tahun dan maksimum 20 tahun, jika sabit kesalahan. – KOSMO! ONLINE