fbpx

Gangguan ePlacement, KKM tangguh penempatan 2,245 pegawai perubatan tetap

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan

PUTRAJAYA – Kementerian Kesihatan (KKM) menangguhkan pemilihan penempatan 2,245 calon pegawai perubatan lantikan tetap yang dijadualkan hari ini ekoran gangguan teknikal serius berpunca daripada akses luar biasa sistem ePlacement.

Untuk rekod, sistem ePlacement ialah sistem penempatan pegawai perubatan ke lokasi-lokasi yang mempunyai kekosongan berdasarkan ‘first come first serve’.

KKM berkata, berdasarkan log rangkaian trafik pada 27 Februari lalu, pihaknya mendapati ramai pengguna mengakses server itu melalui pelbagai peranti termasuk penggunaan kaedah yang tidak sepatutnya.

“Laporan penuh capaian pada hari kejadian menunjukkan bahawa terdapat lebih 19 juta ‘hit’ hingga mengakibatkan pangkalan data sistem tidak dapat dicapai.

“Ini merupakan salah satu faktor besar yang menyumbang kepada penangguhan pemilihan penempatan ini,” katanya dalam satu kenyataan di sini tadi.

KKM berkata, akibat gangguan teknikal tersebut, statistik permohonan menunjukkan lebihan penempatan yang diluluskan berbanding kuota asal di mana kurang daripada satu peratus kekosongan di Sabah dan Sarawak dipenuhi.

“Ini mengakibatkan data yang telah diperoleh langsung tidak boleh digunakan.

“Jadi, KKM telah membuat penambahbaikan kepada proses dan infrastruktur.

“Namun, setelah membuat beberapa simulasi dan penelitian, ia masih tidak dapat menawarkan proses dan keputusan pemilihan penempatan yang adil,” katanya.

Susulan itu, tarikh permohonan baharu yang dimaklumkan melalui emel calon ialah pada 25, 26 dan 27 Mac depan juga dibatalkan dan ditangguhkan ke suatu tarikh baharu diumumkan kelak.

Ekoran itu, KKM berkata, sistem pemilihan sedia ada menggunakan kaedah ‘first come first serve’ akan digantikan dengan sistem lebih telus, adil, berasaskan merit selain memenuhi penawaran dan permintaan.

“Walaupun ketelusan dan keadilan ditambah baik, kepentingan perkhidmatan tetap mendapat keutamaan tertinggi kerana objektif ePlacement ialah penempatan bagi mengisi kekosongan yang perlu dalam menyampaikan perkhidmatan kepada rakyat.

“Untuk makluman, 50 peratus kekosongan sedia ada adalah di Sabah dan Sarawak.

“Selain itu, KKM akan mengadakan sesi libat urus bersama pegawai perubatan terlibat bagi menerangkan dengan lebih terperinci berkenaan isu sistem ePlacement,” jelasnya.

KKM dijangka membuka semula permohonan dalam masa enam hingga lapan minggu bagi membolehkan sistem baharu itu dimuktamadkan dan diuji kemapanannya sebelum dilaksanakan. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI