LONDON – Misi Liverpool untuk menjulang trofi pertama musim ini tidak kesampaian selepas tewas 1-2 kepada Newcastle United dalam aksi final Piala Liga Inggeris (EFL) sebentar tadi.
Pada aksi di Stadium Wembley itu, skuad The Reds membariskan kesebelasan terbaik dengan Mohamed Salah, Luis Diaz dan Diogo Jota mengetuai jentera serangan.
Namun, pasukan The Magpies dilihat berjaya menguasai perlawanan dengan jentera tengah yang dikemudi Bruno Guimaraes, Sandro Tonali dan Joelinton berjaya merencanakan serangan dengan lebih berkesan.
Tuah memihak kepada Newcastle apabila berjaya mendahului sebelum wisel babak pertama ditiupkan hasil tandukan pemain pertahanan, Dan Burn menerusi sepakan penjuru.
Bersambung pada separuh masa kedua, Newcastle teruskan momentum cemerlang untuk terus mengasak kubu juara bertahan Piala EFL musim lalu dengan melakukan asakan bertali arus.
Gol kedua yang dicari akhirnya tiba menerusi penyudah menarik penyerang utama, Alexander Isak dalam kotak penalti untuk memastikan penjaga gol The Reds, Caoimhin Kelleher dibolosi pada minit ke-52.
Tersentak dengan gol tersebut, Arne Slot merombak kesebelasan utama dengan memasukkan pemain simpanan seperti Cody Gakpo, Darwin Nunez dan Federico Chiesa.
Newcastle bagaimanapun kekal tenang dalam misi menjulang trofi pertama dalam tempoh 56 tahun apabila mematahkan setiap asakan Liverpool sebelum melakukan serangan balas pantas ke kubu lawan.
Benteng kebal Newcastle akhirnya dibolosi pada masa kecederaan hasil penyudah Chiesa yang berjaya menewaskan Nick Pope menerusi situasi satu lawan satu.
Namun, segalanya sudah cukup terlambat dengan keputusan 2-1 kekal hingga wisel penamat. – AGENSI