SEREMBAN – Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) menasihatkan orang ramai supaya tidak risau atau bimbang dengan berita tular latihan pengurusan dan pengendalian krisis insiden membabitkan serangan pengganas, tembakan dan tebusan pelajar di Politeknik Ungku Omar (PUO)
Menterinya, Datuk Seri Zambry Abdul Kadir berkata, latihan tersebut adalah sebagai persiapan sekiranya berlaku hal-hal yang yang tidak diingini, namun pihaknya masih belum mendapat laporan penuh berkaitan latihan tersebut.
“Namun kita mengambil maklum tentang prosedur-prosedur yang perlu dilihat bagi memastikan supaya semua persiapan dibuat dengan elok, tapi saya telah pun dapat maklum balas berkaitan dengan seorang pelajar yang terseliuh.
“Saya harapkan keadaan dia (pelajar) pulih dan saya akan dapat laporan lanjut daripada pihak PUO. Saya fikir tak perlu risau kerana ia merupakan satu bentuk latihan, mereka buat persiapan awal sebenarnya bukan dibuat secara mengejut,” katanya kepada pemberita ketika ditemui pada Program Karisma Pemikir Madani Siri 5, di Akademi Kepimpinan Pendidikan Tinggi (AKEPT), di sini, hari ini.
Terdahulu, polis Ipoh mengesahkan insiden serangan di PUO yang viral di media sosial hari ini adalah latihan oleh pasukan 69 Komando Pasukan Gerakan Khas (PGK), namun seorang pelajar perempuan berusia 22 tahun dipercayai terjatuh ketika cuba menyelamatkan diri sewaktu sesi simulasi tersebut. – KOSMO! ONLINE