fbpx

EPL: Man. City belum kibar bendera putih

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
HAALAND meraikan kejayaannya menyempurnakan sepakan penalti untuk meledak gol pertama buat City menentang Brighton. - AFP

MANCHESTER – Pengurus Manchester City, Pep Guardiola masih optimis pasukannya mampu menamatkan saingan Liga Perdana Inggeris (EPL) di kedudukan empat teratas meskipun seri 2-2 ketika bertemu Brighton malam kelmarin.

Pada aksi di Stadium Etihad itu, skuad The Citizens mensia-siakan kelebihan bermain di laman sendiri apabila terpaksa berkongsi mata selepas pasukan pelawat berjaya bangkit dua kali untuk mengikat kedudukan sehingga wisel penamat.

Dua gol City diperoleh menerusi Erling Haaland dan Omar Marmoush, manakala Brighton meraih jaringan menerusi Pervis Estupinan serta gol sendiri Abdukodir Khusanov.

Menurut Guardiola, tekanan yang dirasai oleh pasukan ketika ini cukup hebat tetapi dalam masa sama barisan kejurulatihan optimis sasaran minimum layak ke pentas Liga Juara-Juara Eropah (UCL) musim depan masih boleh direalisasikan.

“Kami harus berpijak di bumi nyata kerana ketika ini tekanan jelas dirasai dalam kalangan para pemain. Banyak kelemahan yang dapat kami lihat dan mereka perlu beraksi dengan lebih bagus daripada apa yang ditampilkan ketika ini.

“Namun, saya tetap percaya dengan keupayaan pasukan ini dan langsung tidak meragui kemampuan kami untuk menamatkan saingan di kedudukan keempat. Masih ada sembilan baki perlawanan dan apa sahaja boleh berlaku,” katanya.

Sementara itu, pemain tengah City, Ilkay Gundogan menyeru agar rakan-rakan sepasukan tampil lebih tenang di atas padang selepas gagal mempertahankan kelebihan jaringan apabila membiarkan The Seagulls bangkit di penghujung saingan.

“Kami telah mengharungi sesi latihan yang terbaik sepanjang minggu tetapi situasi pada perlawanan sebenar agak sukar. Saya rasa mungkin pasukan perlu lebih tenang dan mencari semula ramuan kemenangan seperti sebelum ini,” katanya. – AGENSI

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI