KUANTAN – Enam termasuk lima penumpang dan seorang pemandu bas Rapid Kuantan mengalami kecederaan selepas bas dinaiki mereka berlanggar dengan sebuah lori muatan batu yang hilang kawalan di Jalan Kuantan-Sungai Lembing berhampiran persimpangan Panching di sini hari ini.
Kejadian kira-kira pukul 11.50 pagi itu turut menyebabkan pemandu lori berusia 28 tahun mengalami kecederaan selepas lori dipandunya terbalik.
Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Wan Mohd Zahari Wan Busu berkata, kejadian kira-kira pukul 11.50 pagi itu berlaku ketika lori tersebut dalam perjalanan dari arah kuari Panching di sini menghala ke arah Kota SAS, manakala bas dari arah Sungai Lembing menghala ke Kuantan.
“Apabila sampai di tempat kejadian, ketika lori dengan muatan batu ‘crusher run’ sampai di persimpangan dan hendak membelok ke kanan tiba-tiba telah hilang kawalan lalu mengelak membelok ke kiri dan melanggar bas yang sedang bergerak lurus di laluan utama.
“Akibat pelanggaran tersebut lori telah terbalik di laluan utama dan bas terbabas ke dalam semak dengan jarak kira-kira 11.5 meter daripada jalan utama,” katanya di sini hari ini.
Menurutnya kesemua mangsa termasuk lima penumpang bas, pemandu bas serta pemandu lori mengalami kecederaan dan dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) Kuantan untuk rawatan lanjut.
Katanya, pemandu bas dan pemandu lori serta empat penumpang bas dirawat di zon kuning, manakala seorang penumpang bas berusia 77 tahun dirawat di zon hijau.
Dalam pada itu katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 43 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan siasatan giat dilakukan.
Katanya, berdasarkan siasatan awal mendapati lokasi kejadian adalah jalan lurus dan semasa kejadian permukaan jalan rata dan jalan kering serta cuaca baik. – KOSMO! ONLINE