SEREMBAN – Malaysia bakal menerima dua set tren elektrik (ETS) pertama dari China bulan depan yang akan beroperasi pada penghujung tahun ini melibatkan laluan Padang Besar ke Gemas dan diperluaskan ke Johor Bahru dengan Segamat.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, setakat ini sebanyak 10 tren ETS sedia ada sedang menjalani penyelenggaraan, pembaikan dan baik pulih (MRO) tahap empat yang dijangka selesai sepenuhnya pada suku keempat 2025.
“Apa kita buat sekarang melanjutkan perkhidmatan ETS sedia ada ke Segamat sebab stesen sudah siap. Bagaimanapun, laluan ke Johor Bahru belum siap lagi dan hanya sampai ke Segamat sahaja. Bagi laluan Segamat menggunakan tren sedia ada dan tren-tren baharu sedang disiapkan malah dua tren ETS pertama akan tiba daripada China bulan depan.
“Lain-lain tren sedang dibina di kilang dekat Batu Gajah. Kita menjangkakan hujung tahun ini secara beransur- ansur tren ETS baharu tersebut akan beroperasi,” katanya pada Majlis Perjumpaan Menteri Pengangkutan Bersama Pemimpin Masyarakat dan Majlis Berbuka Puasa 2025 bertempat di Dewan Komuniti Taman Coral Heights, Sikamat, Seremban di sini hari ini. – KOSMO! ONLINE