SEBERANG PERAI – Dua lelaki dihadapkan ke Mahkamah Majistret Bukit Mertajam di sini hari ini atas pertuduhan memiliki pelbagai senjata termasuk bom tangan tiruan, bulan lalu.
Tertuduh, Goh Wei Choon, 30, dan Cheng Meng Hong, 37, mengaku bersalah selepas pertuduhan dibacakan terhadap mereka secara berasingan di hadapan Majistret Nurul Rasyidah Mohd. Akit.
Mengikut pertuduhan terhadap Wei Choon, dia didakwa memiliki 76 pistol serta senapang tiruan pelbagai jenis di sebuah premis di Jalan Perai Jaya 3 di sini, pada pukul 3.40 petang, 24 Februari lalu.
Bagi Meng Hong pula, dia didakwa memiliki 25 laras senjata tiruan serta tiga bom tangan tiruan dan kesalahan itu dilakukan di parkir sebuah pusat beli belah di Jalan Baru Perai di sini, pukul 3 petang pada hari yang sama.
Kes dikendalikan pegawai pendakwa Inspektor Roslina Salleh manakala kedua-dua tertuduh diwakili peguam dari Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK).
Dalam rayuan, YBGK memohon masing-masing tertuduh diberikan denda minimum atas alasan Wei Choon yang bekerja sendiri memperoleh pendapatan bulanan sebanyak RM2,000 dan senjata tiruan itu semua bagi tujuan penjualan.
Turut dimohon denda minima bagi Meng Hong yang bekerja sebagai juruwang dengan alasan kesemua senjata yang dirampas itu untuk kegunaan perniagaan paintball.
Majistret kemudian menjatuhkan hukuman denda RM3,500 terhadap masing-masing tertuduh serta penjara enam bulan jika gagal membayar denda tersebut. – KOSMO! ONLINE