PASIR PUTEH – Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Kelantan akan menggunakan dron bagi memantau kemasukan dua juta kenderaan ke negeri ini menjelang sambutan Hari Raya Aidilfitri hujung bulan ini.
Pengarahnya, Mohd. Misuari Abdullah berkata, selain memantau kesesakan lalu lintas, dron tersebut turut digunakan bagi mengesan kesalahan yang dilakukan pengguna jalan raya.
“Justeru, pengguna jalan raya perlu memandu secara berhemah dan patuh kepada peraturan jalan raya untuk mengurangkan risiko kemalangan,” katanya pada sesi libat urus Ops Khas Hari Raya Aidilfitri (HRA) JPJ Kelantan di Stesen Penguat Kuasa Bukit Jawa, di sini hari ini.
Kosmo! hari ini melaporkan, dianggarkan sebanyak dua juta kenderaan akan masuk ke Kelantan sempena perayaan Aidilfitri pada hujung bulan ini.
Angka itu berpandukan kepada statistik yang direkodkan pada tahun-tahun sebelum ini di tiga pintu utama ke Kelantan iaitu Pasir Puteh, Gua Musang dan Jeli.
Dalam perkembangan lain, Mohd. Misuari memberitahu, pihaknya mengenal pasti lebih 15 lokasi panas yang berisiko berlaku kemalangan maut di Kelantan.
Kesemua lokasi terbabit berada di pintu masuk utama iaitu Gua Musang, Kuala Krai, Jeli, Pasir Puteh dan Machang. – KOSMO! ONLINE