MERSING – Sebuah vesel ditahan selepas didapati menggajikan seorang kru warga Myanmar tanpa kelulusan sah untuk bekerja di atas bot penangkapan ikan tempatan.
Pengarah Zon Maritim Mersing, Komander Maritim Suhaizan Saadin berkata, penahanan dilakukan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) melalui Zon Maritim Mersing dalam Ops Jaksa, Ops Tiris dan Ops Khas Pagar Laut setelah vesel berkenaan dikesan pada kedudukan 2.2 batu nautika utara Pulau Harimau pukul 12.30 tengah hari semalam.
“Kru tersebut juga gagal mengemukakan sebarang dokumen pengenalan diri yang sah. Vesel bersama lima kru termasuk seorang warga Myanmar yang berumur lingkungan 52 hingga 57 tahun telah diiring ke Jeti Maritim Malaysia Pos Teluk Gading untuk siasatan lanjut.
“Kes disiasat di bawah Akta Perikanan 1985 dan Akta Imigresen 1959/63 kerana menggaji warga asing tanpa kebenaran serta kegagalan mengemukakan dokumen perjalanan yang sah,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Tambahnya, Zon Maritim Mersing menegaskan bahawa tindakan tegas akan terus diambil bagi mengekang sebarang aktiviti yang melanggar undang-undang di perairan negara.
Katanya. sebarang aduan atau maklumat berkaitan aktiviti jenayah dan kecemasan di laut boleh disalurkan kepada Pusat Operasi Maritim Negeri Johor di talian 07-219 9404 atau kecemasan 999 bagi memastikan keselamatan dan kesejahteraan perairan negara terus terpelihara. -KOSMO! ONLINE