PUTRAJAYA – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menzahirkan ucapan tahniah kepada Jawatankuasa Tertinggi Pusat (CEC) DAP yang baharu dipilih pada Kongres Ke-18 DAP diadakan di Shah Alam semalam.
“Tahniah, teruskan bekerja,” katanya ringkas kepada pemberita ketika ditemui pada Majlis Ih’ya Ramadan di Kementerian Pendidikan Tinggi di sini tadi.
Terdahulu, Ahli Parlimen Seremban, Anthony Loke terpilih untuk menganggotai Jawatankuasa Tertinggi Pusat (CEC) parti itu pada Kongres Ke-18 DAP yang diadakan di Pusat Konvensyen IDEAL (IDCC) Shah Alam semalam.
Bekas Setiausaha Agung DAP itu antara 29 pemimpin lain yang mengesahkan keanggotaan dalam senarai kepemimpinan baharu parti itu.
Selain Loke, empat daripada enam bekas Naib Pengerusi DAP masing-masing Gobind Singh Deo, Chong Chien Jen, Chow Kon Yeow dan Nga Kor Ming turut mengesahkan keanggotaan dalam barisan kepemimpinan baharu parti itu.
Barisan 30 ahli CEC baharu DAP itu kemudian dijadualkan mengadakan perbincangan untuk memuktamadkan perjawatan yang akan disandang bagi setiap pemimpin terpilih menganggotai kepimpinan utama parti berkenaan.
Bagaimanapun, Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok gagal menempatkan diri dalam senarai 30 ahli Jawatankuasa CEC pada pemilihan DAP semalam.
Turut tidak tersenarai ialah penyandang jawatan Timbalan Setiausaha Agung DAP merangkap Ahli Parlimen Batu Gajah, V Sivakumar.
Turut tidak terpilih ialah Timbalan Menteri Kewangan, Lim Hui Yin. – KOSMO! ONLINE