fbpx

‘Aafiyah puasa, sebagai ibu, tentulah hati berbolak-balik’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
SEBAGAI ibu, Siti Nurhaliza bangga dan terharu puteri tunggalnya, Aafiyah mampu berpuasa penuh pada usia tujuh tahun. – INSTAGRAM SITI NURHALIZA

NAMA Datuk Seri Siti Nurhaliza mekar di hati peminat, berakar kukuh dalam sejarah industri muzik tanah air. 

Seorang bintang bukan sekadar menyanyi, tetapi melakar legasi yang terus bergema dari satu generasi ke satu generasi.

Namun, di sebalik kemilau pentas dan limpahan cahaya glamor, Ramadan kali ini menyulam makna lebih indah dalam kamus kehidupannya. 

Bukan kerana trofi baharu atau kejayaan perniagaan tetapi momen paling menyentuh jiwa, melihat puteri sulungnya, Siti Aafiyah memulakan perjalanan kecil menunaikan ibadah puasa.

Seorang ibu tidak memerlukan mahkota untuk menjadi ratu, cukup melihat anak kecilnya mula memahami erti ibadah, bahagia itu sudah pun menjelma. 

Ramadan kali ini menjadi saksi, Aafiyah yang baru berusia tujuh tahun mula berpuasa penuh sejak hari pertama.

Perasaan bercampur baur menyelubungi hati, pemilik nama penuh Siti Nurhaliza Tarudin itu gembira, tetapi pada masa sama terselit rasa kasihan melihat tubuh kecil itu gigih menahan lapar dan dahaga.

“Alhamdulillah, Aafiyah sudah mula belajar berpuasa. Sebagai ibu, tentulah hati berbolak-balik. Melihat tubuhnya yang kecil, tulangnya pun boleh dirasa, timbul rasa simpati.

“Saya tertanya-tanya, mampukah dia bertahan? Mujur kita mula berpuasa pada hari Ahad, jadi saya dapat memerhatikannya sepanjang hari. Saya tanya juga, bolehkah dia bertahan atau mahu berbuka?

“Rasa bangga dan gembira apabila dia berjaya puasa penuh pada hari pertama tanpa merungut lapar atau merengek keletihan,” katanya kepada HibGlam.

Untuk memastikan momentum itu terus berdenyut, pelantun lagu Anta Permana itu mengambil pendekatan bijak dengan memberi dorongan dan suntikan motivasi, termasuk menyediakan menu kegemaran Aafiyah setiap kali sahur dan berbuka.

Lebih menarik, ada ganjaran istimewa menanti si kecil sebagai penghargaan atas usaha dan kesabarannya.

“Aafiyah memang gemar makan bijirin. Selain itu, saya sediakan juga nasi dan roti untuk sahurnya. Waktu berbuka, saya akan tanya apa yang dia teringin makan. Biasanya, dia suka makanan Barat seperti spageti Bolognese.

“Sebagai penyuntik semangat, saya janjikan ganjaran. Kalau puasa penuh, saya beri RM100 sehari. Ayahnya pun ada janji sesuatu. Walaupun dia masih belum faham nilai wang, tetapi keterujaannya jelas terlihat.”

“Bukan soal duit semata-mata, tetapi lebih kepada memberi dorongan untuk dia merasai keseronokan belajar berpuasa,” ujarnya.

Meskipun Ramadan menuntut lebih banyak masa bersama keluarga, pemenang trofi Anugerah Seri Perak, Anugerah Bintang Popular (ABP) 2012 itu tidak pernah melupakan tanggungjawab terhadap legasi seni dan perniagaannya. 

Tahun ini, kesibukannya bertambah dengan pelbagai urusan, termasuk bisnes dan pelancaran lagu raya baharu.

“Tahun ini, saya lebih memberi tumpuan kepada bisnes kerana ada beberapa reruai jualan yang perlu saya pantau. Selain itu, banyak jemputan majlis berbuka puasa serta sesi ramah mesra bersama peminat dan pengguna produk saya.

“Saya juga melancarkan single raya berjudul Raya Nak Ke Mana ciptaan Aisha Retno pada 12 Mac lalu. Lagu tersebut meneruskan tradisi saya menyanyikan lagu berentak zapin.

“Menariknya, lagu ini seakan ada kesinambungan dengan lagu raya artis naungan syarikat saya, SN Legacy Sdn. Bhd., iaitu Umairah yang berjudul Tak Balik Raya. 

“Macam soal jawab, saya tanya Raya Nak Ke Mana, Umairah jawab Tak Balik Raya,” katanya sambil tertawa kecil.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI