fbpx

Ustazah Asma’ tegur anak usahawan pakai baju nampak pusat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Ustazah Asma’.

PETALING JAYA – Penceramah bebas, Ustazah Asma’ Harun menegur tindakan anak seorang pempengaruh yang juga usahawan terkenal berpakaian mencolok mata termasuk memakai baju yang menampakkan pusat terutama dalam bulan Ramadan yang mulia.

Dalam satu hantaran di Facebook, beliau meluahkan rasa kecewa apabila individu berkenaan tidak menunjukkan rasa malu malah seolah-olah berbangga dengan gaya pemakaian yang tidak sopan walaupun mendapat kecaman daripada masyarakat.

“Saya mengharap dan membayangkan mereka akan berpakaian dan berkelakuan lebih sopan di bulan Ramadan yang mulia, jika di bulan lain tak boleh hormat hukum Allah SWT, maka mungkin bulan Ramadan mereka ada ‘rasa’ itu.

“Rupanya tidak, tanpa segan silu sama seperti si ibu, anak pula dipuji berpakaian nampak pusat, sendat, singkat dan ketat. Ditunjukkan secara terbuka, seolah bangga, walaupun semua komen adalah negatif, mereka tambah aktif,” katanya.

Menurut Asma’, apa yang lebih memalukan adalah teguran terhadap keluarga tersebut bukan sahaja datang daripada masyarakat Islam malah daripada saudara bukan Islam yang turut mengecam perbuatan mereka.

Beliau menegaskan bahawa teguran yang diberikan bukan bertujuan untuk menghina atau merendahkan sesiapa sebaliknya sebagai usaha untuk mencegah kemungkaran yang dilakukan secara terang-terangan.

“Dosa yang dilakukan dalam bulan haram (mulia) lebih besar, sebagaimana amal kebaikan,” katanya sambil memetik hadis daripada Ibn Abbas r.a.

Asma’ juga mengingatkan bahawa perbuatan mendedahkan maksiat secara terbuka adalah dosa besar yang semakin bertambah berat berbanding dosa yang dilakukan secara bersembunyi.

Beliau turut menegaskan bahawa golongan yang melakukan maksiat secara terang-terangan perlu ditegur agar tidak terus menjadi ikutan dan membawa kesan buruk kepada masyarakat.

“Wajib bagi kita mencegahnya dengan cara masing-masing, sehingga kemungkaran seperti ini berhenti,” ujarnya.

Menurutnya, keampunan Allah SWT terbuka luas bagi yang bertaubat tetapi mereka yang terus berbangga dengan dosa boleh dianggap memperlekehkan hukum agama.

Asma’ juga mengingatkan mengenai konsep istidraj, di mana seseorang diberikan nikmat berterusan walaupun dalam kemaksiatan tetapi hakikatnya mereka sedang menuju kebinasaan tanpa menyedarinya.

Beliau menyeru masyarakat agar sentiasa mendoakan kebaikan untuk semua umat Islam dan tidak berhenti berusaha memperbaiki diri demi mencari keredaan Allah SWT. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI