PETALING JAYA – Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) perlu menarik balik serta-merta tauliah seorang agamawan dan mengharamkan daripada mengajar agama di negeri ini sekiranya terbukti terbabit dalam dalam insiden memukul pelajar lelaki di Kajang baru-baru ini.
Exco Hal Ehwal Agama Islam dan Pembudayaan Inovasi Selangor, Dr. Mohammad Fahmi Ngah berkata, beliau telah mengarahkan JAIS untuk menyemak sama ada individu terbabit mempunyai tauliah mengajar di bawah Majlis Agama Islam Selangor (MAIS).
“Sekiranya benar agamawan atau guru ini pemegang tauliah MAIS, maka ia wajar ditarik balik serta-merta dan beliau diharamkan daripada mengajar agama di Selangor,” katanya dalam kenyataan, di sini hari ini.
Beliau menyeru semua agamawan dan guru yang diberikan tauliah mengajar MAIS di Selangor supaya sentiasa menjaga kemuliaan agama Islam.
“(Ini termasuk) menjauhi segala tindakan ganas yang boleh merosakkan imej kesederhanaan para agamawan atau guru,” katanya.
Mohammad Fahmi turut mengecam segala bentuk kekerasan terutama apabila pelakunya membawa imej agamawan atau guru.
“Saya amat kecewa dengan tindakan ganas sebegini yang jelas bertentangan dengan prinsip dan ajaran Islam yang menuntut penyelesaian secara rasional dan berdasarkan asas perundangan yang berkuat kuasa, lebih-lebih lagi di bulan Ramadan yang mulia ini,” katanya.
Pada Jumaat lalu, Kosmo! melaporkan seorang lelaki berusia 39 tahun ditahan selepas dipercayai memukul pelajar sekolah berusia 17 tahun dalam kejadian perselisihan faham di jalan raya berhampiran Saujana Impian.
Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Naazron Abdul Yusof dilaporkan berkata, pihaknya menerima laporan daripada mangsa pada pukul 9.24 malam yang memaklumkan dipukul suspek kira-kira pukul 2.15 petang hari yang sama.
Mangsa mengalami kecederaan retak tulang batang hidung akibat dipukul dan mendapatkan rawatan di Hospital Kajang. – KOSMO! ONLINE