BAGAN DATUK – Taktik licik sindiket memproses dadah dengan menyewa sebuah rumah kampung yang ‘daif’ di kawasan terpencil di Ulu Bernam di sini untuk dijadikan makmal terbongkar selepas diserbu polis, Rabu lalu.
Serbuan pada pukul 10.20 malam oleh Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman itu membawa kepada penemuan dadah jenis syabu dan ketamin bernilai RM1.6 juta.
Pemangku Pengarah JSJN Bukit Aman, Deputi Komisioner Mat Zani @ Mohd Salahuddin Che Ali berkata, serbuan di rumah papan dalam kawasan estet itu berjaya menangkap seorang lelaki berusia 47 tahun yang bertindak sebagai ‘tukang masak’ dadah.
Ketika serbuan, katanya, suspek tempatan itu sedang memproses ketamin. Sebanyak 27.05 kilogram (kg) ketamin, 40 liter cecair ketamin, 1.8kg syabu, pelbagai bahan kimia serta peralatan memproses dadah dirampas di lokasi tersebut.
“Serbuan itu membawa kepada dua tangkapan lelaki berusia 44 dan 42 tahun di Sentul, Kuala Lumpur dan Batu Caves, Selangor pada pukul 11 malam, hari sama.
“Berdasarkan siasatan, kedua-dua suspek itu bertindak sebagai ‘runner’ (penghantar) dan ‘transporter’ (pengangkut) bagi sindiket dadah yang aktif sejak pertengahan tahun lalu,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bagan Datuk, di sini hari ini. – KOSMO! ONLINE