TAMPIN – Program Majlis Berbuka Puasa Bersama Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Padang Serbaguna Majlis Daerah Tampin di sini, hari ini mengalami gangguan elektrik sebanyak dua kali.
Insiden berlaku ketika hadirin sedang berbuka puasa sekitar pukul 7.30 malam, menyebabkan bekalan elektrik terputus selama beberapa minit sebelum berlaku gangguan kedua, lima minit kemudian.
Masalah tersebut berjaya diatasi dalam tempoh singkat dan majlis diteruskan seperti biasa sebelum Anwar meninggalkan lokasi bagi menunaikan solat Maghrib di Dewan Perdana Tampin.
Bagaimanapun, Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Ahmad Dzaffir Mohd. Yussof berkata, pihaknya tidak menemui sebarang unsur sabotaj membabitkan kejadian bekalan elektrik terganggu sebanyak dua kali itu.
“Seramai 120 anggota bertugas bagi memastikan keselamatan kawasan sepanjang kehadiran Perdana Menteri. Jadi, tiada isu yang boleh menggugat keselamatan. Insya-Allah,” katanya. – KOSMO! ONLINE