KUALA TERENGGANU – Tidak sampai 72 jam selepas tiga penjenayah ditembak di Sepang, Selangor, seorang lagi penjenayah ditembak mati polis di Jalan Seberang Jertih, Kuala Besut dekat sini semalam.
Lelaki berusia 31 tahun yang diburu sejak dua tahun lalu kerana disyaki pengedar dadah ditembak mati selepas berbalas tembakan dengan sepasukan anggota polis di lokasi kejadian pada pukul 2.20 pagi.
Ketua Polis Terengganu, Datuk Mohd. Khairi Khairuddin berkata, kenderaan pacuan empat roda, Ford Ranger dinaiki suspek dikesan dalam keadaan mencurigakan di Jalan Seberang Jertih berhampiran Pangkalan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) Gong Kedak, Besut.
“Pasukan Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman yang sedang melaksanakan Op Laras menahan kenderaan suspek bagi tujuan melakukan pemeriksaan.
“Begitupun suspek secara tiba-tiba melepaskan beberapa das tembakan sebelum dibalas demi keselamatan oleh anggota polis terlibat,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Terengganu hari ini.
Mohd. Khairi berkata, pemeriksaan kemudiannya mendapati suspek yang berasal dari Pasir Puteh, Kelantan maut akibat terkena tembakan.
Beliau berkata, pemeriksaan pada kenderaan jenis Ford Rangers dinaiki suspek menjumpai sepucuk pistol berwarna perak bersama magazine dan sebilah parang.
“Dua bungkusan disyaki mengandungi dadah jenis pil kuda dan syabu juga turut ditemui dalam kenderaan itu.
“Semakan awal mendapati suspek memiliki tujuh rekod jenayah atas kesalahan menyeludup senjata api, samun dan penyalahgunaan dadah,” katanya. – KOSMO! ONLINE