FILEM Bollywood dan muzik sememangnya tidak dapat dipisahkan. Itulah identiti filem-filem buatan India sejak dari dahulu hingga sekarang.
Setiap lagu yang dimuatkan dalam filem Bollywood pasti mendapat perhatian ramai, terutamanya jika filem tersebut mencapai status Box Office.
Bollywood juga terkenal dengan karya-karya yang diciplak dari negara lain contohnya lagu Tinak Tin Tana daripada filem Mann yang diciplak daripada lagu penyanyi Malaysia, Iwan yang berjudul Yang Sedang Sedang Saja.
Minggu ini panas dalam media sosial, terutama bagi peminat Bollywood apabila penyanyi K-pop terkenal, Jennie Blackpink dikatakan telah meniru salah sebuah lagu dalam filem popular, Rocky Aur Rani Kii Prem Kahani lakonan Alia Bhatt dan Ranveer Singh yang ditayangkan pada 2023.
Lagu baharu Jennie berjudul Like Jennie yang dimuatkan dalam album solo terbarunya, Ruby dikatakan mempunyai persamaan dengan lagu intro watak Rani lakonan Alia yang dicipta oleh komposer terkenal India, Pritam.
Perkara tersebut telah mencetuskan perdebatan hebat dalam kalangan peminat Alia Bhatt dan Jennie dalam media sosial, masing-masing dilihat cuba mempertahankan artis kesayangan mereka.
Disebabkan perkara tersebut menjadi semakin serius, akhirnya komposer lagu tema Rani iaitu Pritam tampil bersuara dalam satu hantaran yang dimuat naik dalam akaun media sosialnya.
Menurut Pritam, karya terbaru Jennie tidak menciplak lagu ciptaannya.
“Jennie dan Rani adalah dua nama yang mempunyai rima yang hampir sama. Jadi aliran yang sama dalam satu frasa tidak menjadikannya sebagai karya tiruan.
“Dalam muzik, persamaan kecil pasti berlaku sama ada melalui rima, frasa atau bahkan dalam genre yang sama.
“Muzik mengenai kreativiti, perspektif artistik yang unik, pengaruh dan kadang-kadang terjadi secara kebetulan. Daripada menjatuhkan artis, lebih baik kita meraikan karya mereka. Itu lebih wajar,” ujarnya.
Tambahnya, dalam dunia digital, setiap artis berkongsi platform sama, menciplak karya orang lain secara terang-terangan tidak mungkin berlaku.
“Daripada fokus kepada perincian yang kecil, lebih baik kita lihat dari sudut pandang yang lebih besar.
“Mencipta lagu memerlukan usaha yang tinggi. Artis boleh sahaja berkolaborasi jika benar mereka suka dengan karya orang lain,” jelasnya.
Kenyataan Pritam telah mendapat pujian ramai terutamanya peminat-peminat Jennie kerana kenyataannya sekaligus melenyapkan tuduhan artis kesayangan mereka menciplak karya orang lain.
Bagaimana menurut kalian? Adakah persamaan kedua-dua lagu tersebut benar-benar ketara atau situasi itu hanyalah satu kebetulan?