BUENOS AIRES – Juara bertahan Kejuaraan Motosikal Dunia (MotoGP), Jorge Martin bersama pasukannya, Aprilia mendesak perubahan peraturan membenarkan pelumba yang mengalami kecederaan menjalani ujian sebelum kembali bersaing dalam perlumbaan.
Martin sebelum ini mengalami kecederaan tangan kiri dan kaki kanan selepas terjatuh semasa ujian pramusim di Sepang menyebabkan dia terlepas tiga perlumbaan pertama musim ini.
Keadaan menjadi lebih mencabar kerana ia adalah musim pertamanya bersama Aprilia selepas berpindah dari Ducati, menjadikannya masih dalam fasa menyesuaikan diri dengan jentera baharu.
Dalam sidang akhbar sebelum Grand Prix (GP) Argentina, Martin meluahkan kebimbangannya untuk terus beraksi tanpa sesi ujian pemulihan.
“Saya mahu menjalani ujian terlebih dahulu sebelum kembali berlumba kerana saya masih belum berasa selesa sepenuhnya,” katanya.
Pegawai Eksekutif Aprilia, Massimo Rivola mendedahkan pihaknya sedang melobi Dorna dan pihak berwajib untuk mempertimbangkan perubahan peraturan yang membolehkan pelumba mengalami kecederaan panjang menjalani ujian sebelum kembali ke perlumbaan.
Menurut Rivola, cadangan itu bukan sekadar memberi kelebihan kepada Martin atau Aprilia, tetapi lebih kepada aspek keselamatan semua pelumba MotoGP.
“Pasukan Jepun yang menerima konsesi kini dibenarkan melakukan ujian pada bila-bila masa. Jadi, mengapa kita tidak boleh mewujudkan peraturan serupa untuk pelumba yang terpaksa berehat panjang akibat kecederaan?” soalnya.
Rivola turut membangkitkan kes Alex Rins yang sebelum ini terlepas banyak perlumbaan akibat kecederaan tetapi terpaksa kembali tanpa sebarang ujian pemulihan dan terus bersaing dalam format MotoGP yang kompetitif termasuk perlumbaan sprint. – AGENSI