LONDON – Pengurus Chelsea, Enzo Maresca mendedahkan beliau sanggup mengamalkan taktikal negatif sekiranya ia berjaya menghadiahkan kemenangan ke atas Arsenal menjelang aksi Liga Perdana Inggeris (EPL) malam ini.
Ia susulan kegagalan Chelsea menumbangkan Arsenal dalam tujuh pertemuan terakhir antara kedua-dua pasukan sejak kali terakhir mereka menang dengan keputusan 4-2 tiga tahun lalu.
Selain itu, Maresca turut menerima ejekan daripada penyokong yang kelihatan begitu kecewa selepas Chelsea mencatat kemenangan hambar 1-0 ke atas Leicester City minggu lalu.
Situasi sama juga dapat dilihat ketika Chelsea hanya menang 1-0 ke atas Copenhagen dalam aksi timbal balik pusingan 16 Liga Konferens Europa kelmarin.
Disebabkan itu, Maresca bertekad memenangi semula hati penyokongnya dengan menampilkan apa sahaja strategi yang mampu memberikan kemenangan ke atas Arsenal dalam aksi derbi London di Stadium Emirates malam ini.
“Jika kami merancang untuk bertahan menentang Arsenal, pasti penyerang dan pemain sayap kami perlu melakukan 20 larian pecut selama 60 hingga 70 minit.
“Perancangan kami tetap untuk mengawal permainan, tetapi Arsenal adalah pasukan yang akan memberikan tekanan tinggi dan bermain agresif. Mungkin kami akan mendapat lebih banyak ruang untuk menyerang dari belakang,” kata Maresca.
Kemenangan ke atas Arsenal akan mengukuhkan kedudukan Chelsea di tempat keempat apabila kini berkelebihan dua mata ke atas Manchester City dan Newcastle United masing-masing di tangga kelima serta keenam. – AGENSI