NEW DELHI – Seorang lelaki di India mengundang perhatian ramai apabila membawa bersama ular tedung yang menyerangnya ke sebuah hospital untuk mendapatkan rawatan, lapor portal berita Odisihatv hari ini.
Mangsa bernama Ajit Karmakar itu dipatuk ular sebanyak tiga hingga empat kali di luar rumahnya di Mayurbhanj, negeri Odisha, baru-baru ini.
Ajit bertindak membunuh reptilia tersebut dan memasukkannya ke dalam plastik.
Dia kemudian bergegas ke hospital berdekatan sambil membawa bangkai ular tersebut.
Seorang doktor tempatan, Rajkumar Nayak berkata, mangsa dikejarkan ke unit kecemasan, manakala bangkai ular itu dirampas oleh kakitangan hospital.
“Memandangkan Ajit telah membawa ular itu bersamanya, kami dapat mengenal pasti spesiesnya.
“Ia juga memudahkan kami untuk memberikan rawatan yang sesuai.
“Mangsa mengalami pendarahan pada bahagian badan dan dia telah diberikan penawar,” kata Rajkumar. – AGENSI