YAN – Sebuah kilang padi di sini dikenakan tindakan Penahanan Operasi Kelengkapan (POK) selepas operasi kilang didapati mencemarkan udara sehingga mengganggu keselesaan penduduk.
Pengarah Jabatan Alam Sekitar (JAS) negeri, Sharifah Zakiah Syed Sahab berkata, pihaknya menerima aduan awam berkaitan operasi kilang padi yang mencemarkan udara serta menyebabkan kacau ganggu dan ketidakselesaan kepada penduduk setempat.
Katanya, berikutan aduan itu, satu siasatan dijalankan oleh JAS pada semalam dan aduan tersebut didapati benar.
“Premis kilang padi berkenaan dikenakan tindakan POK di bawah Seksyen 38 (1) (a) Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 pada hari ini kerana kegagalan alat kawalan pencemaran udara berfungsi dengan baik dan mengalami kebocoran seterusnya menyebabkan pencemaran udara yang ketara di sekitarnya,” katanya di sini hari ini.
Kata beliau, tindakan itu diambil bagi menghentikan pencemaran daripada terus berlaku.
“Premis diarahkan untuk menghentikan operasi supaya langkah-langkah pembaikan dijalankan dengan segera bagi mengawal pencemaran yang berlaku.
“Notis Arahan Seksyen 31 dan 37 dikeluarkan kepada premis untuk tindakan pembaikan dan penyelenggaran segera dalam tempoh POK tersebut,” ujarnya.
Tambahnya, pemis akan dibenarkan beroperasi kembali selepas JAS negeri berpuas hati dengan langkah pembaikan yang diambil. – KOSMO! ONLINE