fbpx

Jalan Gua Musang-Lojing ditutup hingga kerja penambahbaikan selesai

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Keadaan lubang benam ketiga di laluan Kilometer 78, Jalan Gua Musang-Lojing berhampiran Kampung Jekjok, Pos Brooke di Gua Musang.

PETALING JAYA – Jalan Kilometer 78 Jalan Gua Musang-Lojing berhampiran Kampung Jekjok, Pos Brooke, Gua Musang ditutup sepenuhnya kepada semua kenderaan berikutan kejadian lubang benam terbaharu yang berlaku semalam.

Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi, berkata penutupan itu dibuat ekoran jalan berkenaan tidak selamat untuk dilalui dan kerja-kerja pembaikan sedang dijalankan oleh Jabatan Kerja Raya.

“Saya mengambil maklum kesukaran terpaksa dihadapi pengguna yang tidak dapat menggunakan jalan ini dan berharap anda semua bersabar dengan kesulitan yang berlaku ini kerana kerja-kerja pembaikan sedang dijalankan,” katanya dalam hantaran di Facebook hari ini.

Katanya, beliau berharap semua pihak dapat mematuhi arahan penutupan yang ditetapkan bagi memastikan kelancaran kerja-kerja membaik pulih jalan.

“(Ini) supaya ia (jalan) dapat kembali dibuka dan selamat untuk dilalui oleh semua kenderaan kelak,” ujarnya.

Semalam Kosmo! melaporkan, kejadian lubang benam ketiga dikesan berlaku di Kilometer 78 Jalan Gua Musang-Lojing pada pukul 1.30 pagi iaitu pada jarak tujuh meter daripada lubang benam kedua.

Kejadian lubang benam sedalam enam meter di Kilometer 78, Jalan Gua Musang-Lojing dikesan pada 23 November tahun lalu, manakala lubang benam kedua sedalam sembilan meter berlaku pada 12 Disember lalu di lokasi sama dengan jarak lima meter dari lubang benam pertama.

Susulan itu, Ketua Polis Daerah Gua Musang, Superintendan Sik Choon Foo meminta, pengguna jalan raya yang ingin ke Cameron Highlands, Pahang atau Ipoh, Perak dinasihatkan terus menggunakan laluan alternatif Gua Musang-Sungai Koyan-Ringlet-Tapah-Ipoh-Cameron Highland. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI