LONDON – Juara bertahan Liga Perdana Inggeris (EPL), Manchester City terus mempamerkan aksi hambar selepas seri 2-2 ketika bertemu Brighton pada aksi di Stadium Etihad sebentar tadi.
Pada perlawanan itu, Brighton meraih gol seawal minit ke-7 tetapi jaringan yang dilakukan oleh Kaoru Mitoma itu dibatalkan oleh Video Bantuan Pengadil (VAR) kerana mengasari penjaga gol City, Stefan Ortega.
Tersentak dengan asakan awal pasukan pelawat, The Citizens memperkemaskan jentara serangan dan berjaya mendahului hasil sepakan penalti yang disudahkan Erling Haaland pada minit ke-11.
Enggan mengalah terlalu awal, The Seagulls berjaya meraih gol penyamaan hasil sepakan percuma pemain pertahanan, Pervis Estupinan berselang 10 minit kemudian.
City terus melakukan asakan dan sekali lagi berjaya mendahului hasil penyudah Omar Marmoush yang menerima hantaran tepat daripada Ilkay Gundogan pada minit ke-39.
Bersambung pada babak kedua, Brighton memanfaatkan kesilapan pertahanan City, Abdukhodir Khusanov yang tertampan bola ke gawang sendiri pada minit ke-48 untuk menjadikan kedudukan 2-2.
Situasi tersebut memberi tekanan buat skuad kendalian Pep Guardiola untuk mendapatkan gol kemenangan tetapi keputusan seri kekal sehingga wisel penamat.
Sementara itu, Nottingham Forest terus mengukuhkan cengkaman di kedudukan ketiga EPL selepas menewaskan Ipswich Town 4-2 di laman lawan.
Gol-gol Forest dijaringkan oleh Nikola Milenkovic, Anthony Elanga (dua gol) dan Jota Silva manakala Ipswich mendapat jaringan saguhati menerusi Jens Cajuste dan George Hirst. – AGENSI