TAPAH – Barisan Nasional (BN) Perak akan melancarkan jentera dan mengumumkan calon UMNO bagi menghadapi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning pada 5 April ini.
Pengerusi UMNO dan BN Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, beliau tidak gentar atau risau dengan tindakan Perikatan Nasional (PN) melancarkan jentera pilihan Raya awal (semalam) bagi menghadapi PRK itu.
“Pelancaran jentera dan calon itu sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri ini bersama Ahli Parlimen Tapah, Datuk Seri M. Saravanan yang merupakan Timbalan Presiden MIC,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Media melaporkan enam tempatan yang dicadangkan oleh UMNO Tapah bagi mewakili parti itu pada PRK tersebut ialah Pemangku Ketua Bahagian yang juga Timbalan Ketua Bahagian, Naib Ketua Bahagian, Setiausaha Bahagian, Ketua Penerangan Bahagian, Ketua Pemuda dan Ketua Puteri di bahagian tersebut. – KOSMO! ONLINE