LONDON – Arsenal tidak boleh tewas kepada Chelsea dalam pertembungan derbi London di Stadium Emirates malam ini sekiranya mahu terus berada dalam perebutan kejuaraan Liga Perdana Inggeris (EPL) musim ini.
Kemenangan akan menyaksikan The Gunners yang kini di tangga kedua, mengurangkan jurang kepada 12 mata dengan Liverpool di tangga teratas.
Bagaimanapun, ia tidak mudah kerana Arsenal juga berisiko terlepas kedudukan kedua memandangkan Chelsea ketika ini hanya kekurangan enam mata dengan mereka di tangga keempat.
“(Enzo) Maresca seorang jurulatih yang hebat dan beliau tahu apa perlu dilakukan. Saya seronok melihat corak permainan pasukannya.
“Anda boleh lihat konsistensi dalam permainan Chelsea dan mereka boleh menentang mana-mana pasukan. Ia tidak mudah kerana Chelsea juga sebenarnya pencabar (liga) sejak dari awal musim lagi,” kata Arteta.
Berdasarkan statistik, Arsenal tidak pernah tewas dalam tujuh pertemuan menentang Chelsea dengan perlawanan terakhir menyaksikan kedua-dua pasukan terikat 1-1.
Dalam perkembangan lain, Arteta berbangga kerana bintang mudanya berusia 18 tahun, Myles Lewis-Skelly mendapat panggilan pertama menyertai skuad kebangsaan England.
“Anda sendiri boleh melihat bakatnya dan sekarang saya harap dia dapat mengekalkan prestasi yang sama buat pasukan. Saya mahukan terbaik daripadanya,” jelas Arteta. – AGENSI