KOTA BHARU – Seramai 35 pendatang asing tanpa izin (PATI) pelbagai warganegara tidak sempat menaiki bas ekspres selepas mereka dicekup Jabatan Imigresen (JIM) Kelantan di Terminal Bas Lembah Sireh di sini, semalam.
Pengarahnya, Mohamed Yusoff Khan Mohd. Hassan berkata, semua PATI warga Indonesia, India, Bangladesh dan Myanmar ditahan bermula kira-kira pukul 2 pagi menerusi Ops Sapu.
Menurutnya, PATI yang ditahan itu berusia dalam lingkungan 13 hingga 56 tahun.
“Seramai 17 lelaki termasuk dua remaja dan sembilan wanita warga Indonesia dicekup semasa berada di stesen bas itu. Remaja yang ditahan masing-masing ketika itu berada bersama ibu dan bapa mereka.
“Selain itu, empat lelaki warga Bangladesh, tiga lelaki Myanmar dan dua dari India diberkas dalam operasi tersebut,” katanya ketika dihubungi pemberita, hari ini.
Mohamed Yusoff Khan memberitahu, semua PATI ditahan di Depot Imigresen Tanah Merah dekat sini untuk siasatan lanjut.
Tambahnya, kes disiasat mengikut Seksyen 6 (1) (c), Seksyen 15 (1) (c) dan Seksyen 56 (1) (l) Akta Imigresen 1959/63. – KOSMO! ONLINE