KEMAMAN – Sebanyak tiga ekor penyu agar jantan ditemukan mati di Pantai Chakar Hutan, Kerteh, di sini dalam tempoh kurang 48 jam, sejak kelmarin.
Pegawai Marin Persatuan Pemuliharaan dan Kajian Marin Malaysia (Pulihara), Muhammad Mustaqim Adzimul Asri berkata, ketiga-tiga bangkai reptilia yang dianggarkan berusia lebih 20 tahun ditemui anggota sukarelawan persatuan tersebut sewaktu melakukan rondaan harian di pantai berkenaan.
“Bangkai penyu pertama ditemui terdampar di pesisir pantai dipercayai akibat lemas di dalam pukat pada pukul 1 pagi, kelmarin.
“Penyu kedua pula dijumpai kira-kira 400 meter dari lokasi penemuan bangkai penyu pertama pada pukul 9 malam tadi manakala bangkai seekor lagi penyu ditemui pada jarak 100 meter dari penyu kedua pada pukul 7 pagi tadi,” katanya di sini, hari ini.
Muhammad Mustaqim berkata, pemeriksaan lanjut terhadap bangkai penyu kedua dan ketiga mendapati terdapat kesan kecederaan pada
cengkerang.
Beliau tidak menolak kemungkinan ia disebabkan penyu-penyu tersebut tersangkut pada pukat nelayan sebelum terkena objek tajam sewaktu cuba melepaskan diri. – KOSMO! ONLINE