SHAH ALAM – Senarai acara sukan yang dipertandingkan pada temasya Sukan Malaysia (Sukma) 2026 akan dimuktamadkan sepenuhnya pada Ogos depan.
Keputusan itu turut melibatkan tambahan acara sukan lain termasuk pickleball yang dicadangkan Selangor sebagai tuan rumah.
Exco Belia, Sukan dan Keusahawanan negeri, Mohd. Najwan Halimi berkata, sebanyak 28 acara sukan teras masih kekal dipertandingkan pada temasya itu tahun depan.
Namun, jelasnya, perbincangan lanjut akan terus dilakukan bersama semua Majlis Sukan Negeri bagi tambahan acara lain.
“Ia termasuk melibatkan sukan pickleball yang memerlukan persetujuan untuk menjadi salah satu acara Sukma.
“Perkara itu akan turut dibincangkan Jawatankuasa Tertinggi Sukma sebelum senarai penuh acara dimuktamadkan pada Ogos nanti,” katanya selepas melancarkan program Sambutan Hari Raya Aidilfitri di pusat beli belah i-City di sini, hari ini.
Semalam, Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh memaklumkan satus pickleball sebagai acara Sukma itu belum diputuskan dan masih bergantung kepada undian negeri-negeri terlibat. – KOSMO! ONLINE