PETALING JAYA – Polis kini memburu dua lagi suspek yang dipercayai daripada kumpulan sama dengan tiga penjenayah warga asing yang ditembak mati di Desa Vista, Bandar Baru Salak Tinggi, Sepang, semalam.
Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, usaha mengesan kedua-dua individu terbabit sedang giat dijalankan.
“Setakat ini, siasatan masih diteruskan dan dua lagi suspek sedang diburu.
“Mereka dipercayai merupakan anggota kumpulan samun yang sama,” katanya ketika dihubungi Kosmo!, hari ini.
Semalam, Kosmo! melaporkan tiga penjenayah warga asing berusia antara 35 hingga 40 tahun ditembak mati selepas mereka bertindak menyerang polis menggunakan parang di kawasan hutan berhampiran Desa Vista.
Suspek sebelum itu dikatakan cuba menyamun sebuah rumah di kawasan tersebut sebelum dikesan bersembunyi di dalam hutan.
Menurutnya, kumpulan ini dipercayai terlibat dalam 21 kes samun rumah di sekitar Selangor, Kuala Lumpur dan Negeri Sembilan dengan anggaran kerugian keseluruhan bernilai RM1 juta. – KOSMO! ONLINE