fbpx

Puting beliung: Kerajaan negeri beri bantuan RM30,000

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Suee Lim beramah mesra dengan penerima bantuan itu di Dewan Seri Sekinchan, Sabak Bernam, hari ini. -Foto oleh ISKANDAR SHAH MOHAMED/ KOSMO!

SABAK BERNAM – Penduduk Taman Ria, Sekinchan di sini, menyifatkan bencana ribut dan puting beliung melanda kawasan itu paling buruk sehingga mereka menanggung kerugian ribuan ringgit.

Kejadian petang Selasa lalu itu menimpa 48 keluarga yang kediaman mereka terjejas teruk selepas bumbung diterbangkan angin kencang dan turut dimasuki air hujan.

Penduduk, Norazhar Jamaluddin, 59, berkata, bencana itu disifatkan paling teruk berlaku sejak menetap di taman perumahan itu sejak 46 tahun lalu.

“Rumah pusaka peninggalan arwah bapa mengalami kebocoran teruk pada bumbung yang musnah diterbangkan angin.

“Bahagian ruang tamu dan dapur turut dipenuhi air hujan sehingga mengakibatkan kerosakan dan kerugian RM15,000,” katanya ketika ditemui pada program penyerahan bantuan mangsa ribut di Dewan Seri Sekinchan di sini, hari ini.

Bagi Mohd. Norkhairi Mat Salleh, 40, kediamannya turut mengalami kerosakan teruk akibat kejadian tersebut.

“Setibanya di rumah selepas pulang kerja, saya melihat bumbung telah tiada dan turut dibanjiri air hujan. Banyak barang rosak termasuk almari dan tikar getah,” katanya.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sekinchan, Datuk Ng Suee Lim berkata, kerajaan negeri memperuntukkan bantuan RM30,000 termasuk barangan dapur kepada 48 keluarga berkenaan.

“Setakat ini, lima keluarga masih berlindung di pusat pemindahan sementara (PPS) di Dewan Seri Sekinchan. Mereka masih menanti bantuan baik pulih kerana kediaman rosak teruk dan tidak mampu untuk membaikinya,” jelasnya. – KOSMO!  ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI