MUAR – Seorang penunggang motosikal maut apabila digilis sebuah lori dan dilanggar beberapa kenderaan lain dalam sebuah kemalangan tragis di Jalan Bukit Pasir, di sini petang semalam.
Ketua Polis Daerah Muar, Asisten Komisioner Raiz Mukhliz Azman Aziz berkata, pihaknya menerima laporan mengenai kemalangan daripada orang awam pada pukul 7.10 malam semalam.
Mangsa yang meninggal dunia ialah Tay Tiam Bun, 41, yang bekerja sebagai operator di sebuah kilang.
Menurut Raiz Mukhliz, hasil siasatan awal mendapati kejadian dipercayai berlaku semasa mangsa menunggang motosikal dari Bandar Muar dalam perjalanan balik ke rumahnya di Jorak, Bukit Pasir.
“Motosikal yang ditunggangi mangsa dipercayai telah bergesel dengan sebuah lori dari arah yang sama sebelum digilis oleh tayar lori terbabit dan turut dilanggar beberapa kenderaan lain.
“Tiada kenderaan yang berhenti dan menyedari kemalangan telah berlaku kerana cuaca hujan lebat,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Tambah beliau, mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah dan telah dibawa ke Unit Forensik Hospital Pakar Sultanah Fatimah.
“Usaha mengesan pemandu lori sedang giat dijalankan dan kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – KOSMO! ONLINE