PETALING JAYA : “Dalam diam dia buat kerja.”
Itu komen netizen yang menonton video muzik lagu raya baharu Mimi Fly berjudul Serumpun.
Ibarat meneruskan momentum lagu Angkat, Serumpun juga membawa ‘vibes’ yang sama tetapi lebih meriah dengan suntikan elemen lebaran.
Menurut Mimi atau nama sebenarnya Shamimi Amalina Norhisham, 38, dia memang sudah lama mengidamkan untuk mempunyai lagu raya sendiri.
“Saya memang teringin nak buat lagu raya. Bila lagi kalau bukan tahun ini selepas keluar dengan lagu Angkat.
“Serumpun mengisahkan tentang betapa indahnya hari raya apabila diraikan bersama. Secara asasnya sama macam lagu raya lain tetapi dengan suntikan Mimi Fly la,” katanya.
Selain lagu berentak mesra telinga, Mimi juga menjamu peminatnya dengan halwa mata apabila menghasilkan muzik video yang cantik dan meriah.
Ada yang menyifatkan menonton video muzik Serumpun seperti menonton kesinambungan Angkat kerana menggunakan lokasi sama.
“Saya masih belum ‘move on’ dengan lagu Angkat, sekarang awak lancarkan Serumpun pula. Sebelum ini lagu Angkat terngiang-ngiang selama tujuh hari. Lepas ni Serumpun pula. Lagu raya paling menang untuk tahun 2025,” komen netizen.
Serumpun dicipta Mimy sendiri bersama Cuurley dan dilancarkan sejak 14 Mac dalam semua platform digital. Sama seperti Angkat, Serumpun juga berdurasi kurang tiga minit. KOSMO! – ONLINE