MANCHESTER – Berbaki 10 perlawanan lagi dalam saingan Liga Perdana Inggeris (EPL) musim ini, Manchester City tetap tenang bagi memastikan mereka dapat menamatkan kempen di kedudukan empat teratas.
Pengurus City, Pep Guardiola berharap misi penting itu dapat dilaksanakan sebaiknya dan ia akan bermula menjelang pertemuan menentang Brighton yang dijadualkan berlangsung di Stadium Etihad malam ini.
Beliau berkata, kedudukan dalam kelompok empat teratas sangat penting buat The Citizens kerana ia bakal mencerahkan peluang mereka untuk melangkah ke Liga Juara-Juara Eropah (UCL) musim depan.
“Saya mahu anda semua dengar, sudah tentu saya mengharapkan kemaraan ke Liga Juara-Juara Eropah. Bagaimanapun, kami semua perlu sedar bahawa pasukan-pasukan lain juga sedang berusaha bagi mendapatkannya.
“Memang benar sebelum ini City tidak pernah layak ke Liga Juara-Juara Eropah tetapi sebaik sahaja kami menjadi pasukan tetap, kami mahu layak pada setiap tahun. Masih ada banyak peluang untuk kami,” katanya.
Pada ketika ini, City berada di tangga kelima liga dengan 47 mata, hanya dua mata dipisahkan dengan pasukan tangga keempat, Chelsea yang dijangka berdepan aksi sukar menentang Arsenal malam esok.
“Masih ada 10 perlawanan perlu diharungi dalam saingan liga dan ia masih belum terlepas daripada genggaman. Sekiranya kami gagal layak selepas 38 perlawanan, bermakna kami bermain kurang baik,” ujar Guardiola. – AGENSI