PETALING JAYA – Selaku rakan, penyanyi Elly Mazlein bersimpati dengan nasib tiga penyampai 3 Pagi Era yang digantung tugas susulan isu didakwa mempersenda upacara agama Hindu.
Kagum dengan tindakan pantas Nabil Ahmad, Azad Jazmin dan Radin memohon maaf, Elly atau Sharifah Aida Mazlina Syed Hanafi, 44, percaya wujud salah faham dan meminta orang ramai memaafkan perbuatan tiga penyampai itu.
“Sebagai sahabat, saya sangat simpati dengan apa yang terjadi. Saya memuji keberanian mereka untuk tampil memohon maaf dengan segera.
“Saya mendoakan yang terbaik buat mereka. Sebagai manusia biasa, kita tidak sempurna dan tidak dapat lari daripada melakukan kesilapan.
“Saya tahu mereka tiada niat ke arah itu (mempersenda agama), ini mungkin kesilapan teknikal dan salah faham.
“Terus berikan sokongan kepada tiga sahabat saya ini, banyak perkara baik yang mereka lakukan sebelum ini. Harap semua memaafkan mereka,” katanya ketika ditemui di acara Tayangan Perdana Program Raya Astro 2025, baru-baru ini.
Meskipun nama dipetik menggantikan tiga penyampai berkenaan, pelantun lagu Sayap itu mengakui jadual kerjanya sudah padat dan yakin ramai lagi berhak duduk di tempat tersebut.
“Jadual kerja saya sudah padat, untuk ambil slot pagi agar sukar.
“Kalau bukan saya, masih ada ramai lagi penyampai radio hebat lain boleh menggantikan tempat tiga penyampai itu,” tuturnya.
Pada masa sama, Elly atau lebih mesra disapa Kak Lina Pom Pom mengambil iktibar daripada insiden terbabit agar lebih cakna menjaga sensitiviti agama dan pertuturan.
“Apa yang berlaku ini juga memberi pengajaran kepada saya supaya sentiasa berhati-hati dan peka.
“Kita hidup dalam negara yang ada berbilang bangsa dan agama, kena jaga sensitiviti kaum lain. Kita kena sentiasa profesional,” ujarnya.
Terdahulu, tiga penyampai Era FM itu menjadi sorotan ramai selepas tular video memaparkan salah seorang daripada mereka menari yang dianggap mempersenda agama lain. – KOSMO! ONLINE