fbpx

 ‘Kalau mati ketika itu, ibadah saya belum cukup’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Azlee terhutang budi dengan jenama ikonik Senario yang sudah berusia hampir tiga dekad. 

“JIKA Allah ‘ambil’ ketika itu, ibadah saya belum cukup.”

Demikian kata pelakon dan pelawak popular, Azlee Senario yang bersyukur apabila ibarat diberi peluang hidup buat kali kedua selepas berdepan masalah kesihatan saluran jantung tersumbat Jun tahun lalu.

Sehubungan itu, kehadiran Ramadan kali ini sangat manis buat Azlee atau nama sebenarnya, Muhammad Azlee Jaafar, 58. 

“Saya hampir tak dapat rasa nikmat Ramadan tahun ini. Masih terngiang-ngiang doktor kata jantung saya hanya berfungsi 30 peratus sahaja dan ada masa lima minit sebelum meninggal.

“Seram apabila dengar kita akan meninggal, masa itu yang ada dalam fikiran saya adalah ibadah saya belum cukup. Saya berdoa tanpa henti, andai diberi peluang saya mahu tambah ibadah, pahala dan berbuat baik,”  ujar Azlee.

Biarpun kini Azlee bersama kumpulan Senario dihujani pelbagai tawaran kerja termasuk berpeluang menjadi duta jenama pakaian, fokus kehidupan Azlee kini selain kerja adalah menggandakan amal kebaikan.

“Pandangan saya terhadap kehidupan semakin berubah, saya hanya ingin menjaga hati, mahu bersedekah sebanyak mungkin dan mahu ke rumah Allah (Mekah) jika diberi peluang. Takut jika dipanggil pulang (meninggal dunia) dalam keadaan tidak bersedia,” kata Azlee.

Azlee yang telah menjalani pembedahan pemasangan sten (tiub kecil), kini beransur sihat, namun masih bergantung sepenuhnya pada ubat-ubatan.

Sangat mensyukuri nikmat dipinjamkan Ilahi, Azlee kini mempunyai impian terbesar iaitu syahid di Tanah Suci Mekah. – AFIQ RAZALI

Setiap hari, Azlee harus ‘menjamah’ 15 biji ubat berbeza demi kelangsungan kesihatannya.

“Alhamdulillah, saya boleh bekerja seperti biasa cuma tidak boleh tinggal ubat. Walau sudah tua, saya bersyukur rezeki masih ada dan Senario masih popular,” katanya.

Dibantu peminat

Selain sakit, kenangan Ramadan yang tidak dapat dilupakan oleh Azlee adalah ketika industri seni lumpuh apabila seluruh dunia diserang pandemik Covid-19 pada 2020.

Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), larangan rentas negeri dan ketiadaan tawaran kerja kerana penggambaran tidak dibenarkan merupakan satu pukulan hebat buat semua anak seni termasuk Azlee.

Demi kelangsungan hidup, dia membuang rasa malu dan popularitinya untuk berniaga buah di tapak pasar malam di Saujana Utama, Sungai Buloh.

“Sudahlah tidak boleh jumpa keluarga, kerja pun tiada. Jadi saya ambil pendekatan untuk jual buah. Saya tidak malu, popular tolak tepi paling penting rezeki yang halal untuk keluarga.

“Rakyat Malaysia sangat baik bila mereka tahu saya berniaga, mereka bersimpati dan sangat prihatin. Masa itu semua orang susah bukan artis sahaja. Jika diingat kembali memang antara Ramadan paling meninggalkan kesan,” kata Azlee.

Tidak kekok, Azlee mengakui pernah berniaga nasi campur dan bekerja cuci kereta ketika zaman bujang. Pada ketika itu juga, dia belum bergelar selebriti.

Justeru, berniaga buah bukanlah satu yang asing dan sukar untuk dilakukannya.

“Momen yang saya tidak boleh lupa, apabila ada peminat datang beli buah. Harga buah RM10, tetapi dia beri RM20. Lebih RM10 adalah tanda terima kasihnya kepada saya kerana menceriakan zaman kanak-kanaknya.

“Masa itu, saya rasa sebak dan terharu. Ada juga peminat yang prihatin terhadap saya. Begitu juga ketika mula-mula main TikTok saya menerima hadiah bernilai lima angka. 

“Orang yang beri itu adalah usahawan berjaya, dia beri hadiah kerana mahu berterima kasih kerana saya yang telah menggembirakan arwah ibunya,”  kongsi Azlee lagi yang sempat berniaga buah selama dua tahun.

Berkongsi tentang kumpulan Senario, sejak membawa pulang trofi Artis Komedi Popular daripada Anugerah Bintang Popular tahun lalu, populariti  mereka naik mendadak.

Biar apa pun badai yang datang, Senario yang telah berusia 29 tahun terus utuh dan kekal relevan.

“Senario merupakan satu-satunya kumpulan pelawak yang kekal bersama. Tipulah jika tiada bergaduh, tetapi gaduh adik-beradik saja. 

“Alhamdulillah, sebelum menang ABP lagi kami telah buat konsert merata, tetapi lepas menang impaknya lebih besar dan bakal anjurkan konsert pada bulan Oktober ini.

“Jujur, memang tidak sangka sudah tua-tua masih diterima dan ditawar jadi duta lagi, terima kasih kerana terus menyokong Senario,”  kata Azlee menutup bicara.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI