TOKYO – Seorang pesohor media sosial maut selepas ditikam oleh seorang lelaki ketika mengadakan siaran langsung sambil berjalan kaki di Jepun, lapor portal berita VNExpress semalam.
Sato Airi, 22, diserang suspek bernama Takano Kenichi di Shinjuku, Tokyo pada Selasa lalu.
Beberapa saksi berkata, mereka mendengar Airi menjerit meminta pertolongan ketika paparan siaran langsungnya bertukar gelap secara tiba-tiba.
Kehilangan mangsa mencetuskan kekeliruan dan kebimbangan dalam kalangan penonton penstriman, demikian menurut portal berita Deccan Herald.
Polis berkata, pasukan kecemasan menemui mangsa dengan beberapa kesan tikaman di bahagian kepala, leher dan perut.
“Mangsa dibawa ke hospital berdekatan tetapi disahkan meninggal dunia tidak lama kemudian.
“Suspek pula ditahan di tempat kejadian. Rakaman televisyen litar tertutup (CCTV) memaparkan dia menikam mangsa dengan sebilah pisau berulang kali.
“Kenichi berbuat demikian selepas Airi gagal membayar hutang lebih 2 juta yen (RM59,828),” tambah polis. – AGENSI