JERANTUT – Jualan martabak di daerah ini terus meningkat mendadak termasuk Murtabak Manja yang menjadi bagai juadah wajib setiap kali Ramadan.
Ini dapat dilihat apabila pelanggan sanggup beratur panjang di bawah terik matahari dan berpayung ketika hujan semata-mata untuk membeli Murtabak Manja sepanjang bulan Ramadan di tapak Bazar Ramadan bandar Jerantut di sini.
Kebanyakan pelanggan ada yang datang dari kawasan Felda, Pulau Tawar, Damak, Kuala Tembeling, Ulu Tembeling, Bandar Pusat Jengka, Kuala Krau, Temerloh dan Lipis beratur lebih awal sejam sebelum gerai dibuka pada pukul 3 petang.
Pemilik Murtabak Manja, Amizan Jorit, 49, berkata, pelanggan sudah menunggu lebih awal lagi sebelum gerai dibenarkan pada pada pukul 3 petang.
“Saya simpati juga ramai beratur dalam keadaan panas dan hujan untuk beli sekeping atau lima keping martabak
“Saya bersama tiga pekerja hanya mampu menyiapkan cuma kira-kira 400 keping setiap petang, manakala menjangkau 500 keping pada hujung minggu,”katanya di sini semalam.
Tambahnya, dia bersyukur kerana perniagaan Murtabak Manja berharga RM8 sekeping (ayam/daging) mendapat perhatian ramai ketika bulan Ramadan sekali gus berterima kasih kepada pelanggan kerana kerap mengunjungi gerainya.
Sementara itu, seorang penduduk Kampung Perak dekat sini, Anuar Mustakim, 60, berkata, dia dan cucunya dua hari sekali membeli Murtabak Manja serta makanan lain untuk berbuka puasa.
“Kena beratur pun berbaloi sebab memang sedap,” ujarnya. -KOSMO! ONLINE