PEMAIN sensasi Selangor FC, Faisal Halim mengakui sedia melupakan ‘tragedi hitam’ selepas dipanggil mewakili skuad kebangsaan Harimau Malaya buat kali pertama dalam tempoh 12 bulan.
Faisal yang mesra dengan panggilan Mickey tekad untuk membalas kepercayaan yang diberikan oleh ketua jurulatih baharu Harimau Malaya, Peter Cklamovski dan tidak mensia-siakan peluang untuk menunjukkan kebolehannya.
“Terutama sekali syukur Alhamdulillah, dapat panggilan ke skuad kebangsaan buat kali pertama selepas kecederaan insiden hampir setahun juga.
“Saya rasa amat-amat terharu dan sudah tentu teruja menyarung kembali jersi pasukan kebangsaan. Ini adalah peluang yang terbuka buat saya dapatkan semula (prestasi lama) seperti sedia kala.
“Apa yang saya boleh kata, ini adalah permulaan yang baharu…semangat yang baharu untuk saya dalam kancah bola sepak, untuk membantu pasukan kebangsaan,” kata pemain berusia 27 tahun ini.
Sebagai rekod, Faisal yang berdepan episod duka dalam hidupnya apabila disimbah asid pada Mei tahun lalu terpaksa berehat hampir tiga bulan selepas menjalani beberapa siri pembedahan sebelum dibenarkan kembali beraksi di atas padang.
Sementara itu, pemain kelahiran Mengkuang Titi, Pulau Pinang turut teruja untuk bersama ‘revolusi’ skuad Harimau Malaya yang baharu selepas kali terakhir menyarung jersi kebangsaan ketika era jurulatih Korea Selatan, Kim Pan-gon.
“Sudah tentu apabila jurulatih baru datang, pemain-pemain tertunggu-tunggu dan ternanti-nanti apa yang akan diterapkan. Apa yang akan ditunjuk ajar, apa yang akan diterapkan dan belajar perkara baru dalam bola sepak adalah baik untuk pasukan dan pemain juga,” katanya.