SEGAMAT – Perkhidmatan Tren Elektrik (ETS) Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) kini secara rasmi beroperasi dari dan ke Stesen Segamat bermula hari ini, menandakan satu lagi pencapaian penting dalam usaha memperluaskan rangkaian rel negara.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan KTMB, Datuk Mohd Rani Hisham Samsudin, perkhidmatan tren ETS yang dilanjutkan ini merupakan laluan sedia ada iaitu sektor Butterworth – Gemas – Butterworth dan Padang Besar – Gemas – Padang Besar.
Katanya, perjalanan sulung ETS iaitu EG9420 telah berlepas dari Stesen Segamat ke Stesen Padang Besar tepat pada pukul 7.55 pagi ini dan EG9321 dari Stesen Butterworth ke Stesen Segamat juga telah berlepas pada pukul 7.50 pagi tadi dan akan tiba pada pada pukul 2.57 petang ini.
“Melalui operasi tren pertama ini diharap dapat memberi pengalaman perjalanan yang selamat dan selesa kepada para penumpang.
“Kami amat berbesar hati untuk memperkenalkan perkhidmatan ETS ke Segamat, yang bakal memberikan kemudahan perjalanan rel moden dan lancar kepada lebih ramai rakyat Malaysia.
“Lanjutan perkhidmatan ini mencerminkan komitmen kami dalam meningkatkan pengangkutan awam serta menyediakan pilihan perjalanan yang lebih lestari,”katanya.
Sehubungan itu, KTMB menawarkan promosi khas kepada para pengunjung yang hadir ke Stesen Segamat iaitu diskaun RM10 untuk perkhidmatan EG9321, EG9322, EG9420 dan EG9425 tertakluk kepada terma dan syarat,”katanya – KOSMO! ONLINE