PETALING JAYA – Kementerian Perpaduan Negara (KPN) melalui Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional menganjurkan program Jom Masak Bubur Lambuk Perpaduan dan Majlis Iftar Harmoni di 118 lokasi seluruh negara sepanjang bulan Ramadan ini.
Menteri Perpaduan Negara, Datuk Aaron Ago Dagang, berkata program ini bertujuan mengeratkan semangat muhibah dalam kalangan komuniti setempat terutama di kawasan rukun tetangga.
“Perpaduan negara adalah asas kepada kestabilan dan kemakmuran negara kita. Ramadan memberikan peluang kepada kita untuk menunjukkan nilai-nilai murni seperti saling menghormati, membantu sesama insan dan memberi tanpa mengharapkan balasan.
“Dalam semangat ini, marilah kita mempertingkatkan usaha untuk membina sebuah negara yang bersatu padu, di mana semua rakyatnya hidup dalam keharmonian dan saling bekerjasama,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau turut menyeru rakyat Malaysia agar terus memanfaatkan program sebegini bagi memperkukuh perpaduan dan keharmonian dalam masyarakat.
“Kita harus mengambil peluang yang ada untuk mengenali antara satu sama lain, berkongsi cerita dan pengalaman serta merapatkan jurang perbezaan.
“Dengan semangat kasih sayang, hormat-menghormati dan tolong-menolong, kita dapat membina masyarakat yang lebih baik dan negara yang lebih maju,” ujarnya.
Menurutnya, Majlis Iftar Harmoni yang dianjurkan di seluruh negara turut terbuka kepada orang ramai bagi memeriahkan suasana.
“KPN yakin bahawa ini dapat menjadi tapak integrasi bagi meningkatkan hubungan baik antara rakyat Malaysia yang berbilang bangsa, agama dan budaya,” katanya. – KOSMO! ONLINE