fbpx

‘Asap tebal, api marak cepat saya tak sempat selamatkan atuk’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Syed Mohamed Mashor Syed Kassim melihat rumah jirannya yang terbakar dan mengorbankan seorang warga emas lelaki di Jalan Permas 2/4 Bandar Baru apermas Jaya, Johor Bahru hari ini

JOHOR BAHRU – “Asap tebal dan api marak begitu pantas, saya tidak sempat berbuat apa-apa.”

Demikian ujar Ezad Haiqal Afendy, 23, cucu warga emas, Md. Aris Samar, 84, yang ditemui rentung dalam kejadian kebakaran tiga buah rumah teres di Jalan Permas 2/4 Bandar Baru Permas Jaya, di sini semalam.

Ezad Haiqal turut terkilan apabila tidak dapat menyelamatkan datuknya yang ketika kejadian sedang tidur di tingkat atas rumah teres tersebut.

“Saya hanya mengetahui insiden malang menimpa datuk setelah dihubungi ibu saudara, Hamizah Md Aris, 57.

“Ketika kejadian saya tidak ada di rumah, apabila mak saudara hubungi, saya terus bergegas balik dan cuba menyelamatkan datuk yang berada di tingkat atas. Namun saya tidak dapat berbuat apa-apa,” katanya ketika ditemui Kosmo! Ahad semalam.

Menurut Ezad, ketika kejadian datuk dan ibu saudaranya itu berada di kediaman tersebut bersama tiga lagi adiknya, Ezzatty Haida, 21, Ezzatty Hazrina, 18, dan Ezzatty Hadirah, 16.

Tambahnya, ketiga-tiga adik-nya itu cuba membantu mema­damkan kebakaran dan mengeluarkan arwah datuk mereka, namun tidak berhasil kerana api marak dengan terlalu pantas.

“Jiran-jiran juga tampil membantu memadamkan api menggunakan saluran paip yang ada tapi tidak boleh buat apa-apa sehinggalah pasukan bomba sampai.

“Datuk walaupun usia sudah 84 tahun, namun dia sihat dan boleh berjalan tetapi ketika kejadian mungkin dia sedang tidur seorang diri di atas katil dalam bilik dan bila sedar api sudah terlalu marak,” katanya.

Jelasnya, menurut cerita ibu saudaranya, punca kebakaran dipercayai daripada lilin yang dipasang di dalam bilik Allahyarham Md. Aris.

“Atuk memang suka tidur dalam keadaan gelap dan bercahayakan lilin. Kejadian kebakaran pernah berlaku sebelum ini iaitu beberapa tahun lalu, namun kami sempat sedar dan padam api ketika itu,” katanya.

Jelasnya, dia bersama tiga adik perempuannya menziarahi ibu saudara dan datuknya sempena Ramadan.

“Kami tinggal di Kempas bersama ibu ayah, kami selalu ke rumah emak saudara ziarah dia dan datuk sebab datuk tinggal dengan dia.

“Malam kelmarin kami sempat berbuka sama-sama, itulah memori terakhir kami bersama datuk,” katanya.

Jenazah Allahyarham Md. Aris selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Sungai Tengkorak, Permas Jaya, di sini selepas zuhur semalam.

Dalam pada itu, Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Johor Jaya, Pegawai Bomba Kanan II Saiful Bahri Mahpop berkata, 33 anggota berserta tujuh buah jentera dikejarkan ke lokasi kejadian sejurus menerima panggilan kecemasan.

“Setibanya di lokasi, didapati terdapat tiga buah rumah struktur kekal dengan keluasan 20×15 meter masing-masing telah terbakar dengan kerosakan antara 20 hingga 80 peratus.

“Mangsa rentung ditemui terperangkap pada bahagian atas rumah tengah antara tiga kediaman yang terbakar, mangsa melecur 70 peratus,” katanya.

Tambah beliau, mayat mangsa diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI