JOHOR BAHRU – Suara batuk bayi berusia setahun menyelamatkan nyawa tiga beranak dalam kejadian kebakaran melibatkan tiga buah rumah teres di Jalan Permas 2/4, Taman Permas Jaya di sini tengah malam tadi.
Latifah Samsuri, 31, berkata, ketika kejadian dia sedang tidur di bilik tingkat bawah rumah bersama dua anaknya, Mohd Umar Mohd. Faiz, 1, dan Mohd Ammar Absyar, 5.
“Semasa kami sedang nyenyak tidur, anak bongsu saya, Mohd Umar terbatuk sebab terhidu asap, saya terjaga dan ingatkan asap biasa.
“Tak lama saya dengar jiran menjerit minta keluar rumah sebab ada kebakaran, saya terus bangun tengok api dan asap sudah penuh bahagian atas rumah.
“Tak fikir panjang terus bawa dua anak cepat-cepat keluar rumah menyelamatkan diri,”katanya menceritakan detik cemas itu ketika ditemui pemberita di sini hari ini.
Latifah berkata, semasa kejadian, suaminya, Mohd Faiz Raja Mohd Yatim, 33, tiada di rumah kerana keluar bekerja sebagai pemandu e-healing sementara anak sulungnya, Aaira Aisyah, 7, berada di rumah ibunya.
“Baju anak-anak, buku sekolah, pakaian raya, semuanya musnah. Kami tidak tahu bagaimana mahu menyambut Aidilfitri tahun ini kerana segala persiapan raya turut terbakar,” luahnya sebak.
Lebih menyedihkan, anak keduanya, Mohd Ammar masih dalam keadaan trauma dan menggigil selepas insiden tersebut.
Terdahulu, dalam kejadian kira-kira pukul 12.13 tengah malam itu, seorang lelaki warga emas ditemui rentung manakala 12 mangsa yang lain terselamat. – KOSMO! ONLINE