fbpx

Alumni Mara dialu-alukan sumbang RM1 untuk Wakaf Mara Madani

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Ahmad Zahid mengiringi Anwar sewaktu Majlis Peluncuran Wakaf Mara Madani 2025 di WTCKL hari ini. - Foto oleh AMIR KHALID/ KOSMO!

PETALING JAYA – Seramai 2.8 juta alumni dan produk pendidikan Majlis Amanah Rakyat (Mara) dialu-alukan untuk menyumbang dalam program Wakaf Mara Madani (WMM).

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, beliau mencadangkan supaya setiap individu tersebut menyumbang sekurang-kurangnya RM1 sebulan melalui program itu.

“Jika setiap daripada 2.8 juta alumni Mara menyumbang RM1 sebulan, jumlah dana yang terkumpul boleh mencecah RM3 juta sebulan atau RM36 juta setahun.

“Mara telah memberi banyak faedah kepada rakyat. Jika sumbangan RM1 digandakan kepada RM10 sebulan, dana yang boleh dikumpul meningkat kepada RM30 juta sebulan atau RM360 juta setahun,” katanya berucap pada Majlis Peluncuran Wakaf Mara Madani 2025 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur di sini, hari ini.

Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata, WMM bertujuan memperkukuh pembangunan sosioekonomi bumiputera menerusi sumbangan wakaf dan infaq daripada masyarakat.

Terdahulu, Majlis Peluncuran WMM 2025 disempurnakan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, sempena sambutan ulang tahun Mara ke-59.

Untuk rekod, WMM adalah agenda pemerkasaan sosioekonomi bumiputera hasil daripada resolusi Kongres Ekonomi Bumiputera 2024 yang diumumkan secara rasmi oleh Anwar.

Program itu juga menerima kelulusan Kementerian Kewangan berhubung potongan cukai terhad sehingga 10 peratus daripada pendapatan agregat di bawah peruntukan Seksyen 44 11(C) Akta Cukai Pendapatan 1967. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI