JOHOR BAHRU – Warga Singapura yang memandu mabuk sehingga merempuh sebuah kedai makan dan sebuah kenderaan lain di Jalan Abdullah Tahir, di sini pada 5 Mac lalu dipenjara dua hari serta denda RM12,000 jika gagal bayar tujuh bulan penjara.
Majistret, Nur Fatin Mohamad Farid menjatuhkan hukuman tersebut terhadap, Sim Kok Siong Daniel, 46, selepas dia mengaku bersalah apabila pertuduhan pindaan dibacakan dalam bahasa Mandarin.
Berdasarkan kertas pertuduhan, tertuduh yang merupakan seorang pemandu grab di republik berkenaan didakwa telah memandu kenderaan dengan kandungan alkohol 165 miligram dalam 100 mililiter darah iaitu melebihi had ditetapkan sehingga pada pukul 10 malam, 5 Mac lalu.
Atas kesalahan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 45(A)(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM30,000, penjara sehingga dua tahun serta hilang kelayakan lesen memandu selama dua tahun.
Terdahulu, Kok Siong yang tidak diwakili peguam itu meminta maaf dan mengaku telah insaf akan perbuatannya serta berjanji tidak mengulanginya lagi.
“Saya bekerja sebagai pemandu Grab di Singapura dengan pendapatan 5,000 dolar sebulan. Saya juga menanggung isteri yang tidak bekerja dan tiga anak yang masih belajar.
“Saya tidak mampu membayar denda yang tinggi atau dipenjarakan kerana saya merupakan satu-satunya pencari rezeki dalam keluarga,” katanya seperti diterjemahkan jurubahasa.
Mahkamah kemudian menjatuhkan hukuman tersebut selain melucutkan hak tertuduh memiliki lesen memandu tempatan selama dua tahun bermula tarikh sabitan. – KOSMO! ONLINE