fbpx

[VIDEO] Tiga suspek ditembak polis di Sepang ada 21 kes samun

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
MAYAT salah seorang penjenayah (dalam bulatan) yang ditembak mati polis di Sepang, awal pagi tadi.

PETALING JAYA – Tiga penjenayah warga asing yang ditembak mati polis di kawasan Desa Vista, Bandar Baru Salak Tinggi, Sepang, hari ini dipercayai terbabit dalam 21 kes samun.

Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, semua suspek lelaki berusia 35 hingga 40 tahun itu terlibat kes samun rumah di sekitar Selangor, Kuala Lumpur dan Negeri Sembilan.

“Dengan tumpasnya tiga suspek ini, pihak polis berjaya menyelesaikan sebanyak 21 kes samun dengan anggaran kerugian keseluruhan bernilai RM1 juta,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menurutnya, pada pukul 2 pagi tadi, pihak polis menerima maklumat berhubung cubaan samun di dua unit rumah kawasan berkenaan.

Beliau berkata, kira-kira pukul 2.30 pagi, ketika menjalankan rondaan pasukan polis terserempak dengan tiga lelaki bersenjatakan parang di kawasan bukit berhampiran taman perumahan itu.

“Suspek yang berpakaian gelap serta bertopeng hitam telah bertindak menyerang polis dan bagi tujuan mempertahankan diri, polis terus melepaskan tembakan ke arah suspek.

“Hasil pemeriksaan mendapati semua suspek berkulit gelap dalam keadaan berlumuran darah dan telah meninggal dunia di lokasi kejadian,” ujarnya.

Katanya, kes ini disiasat di bawah Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana cubaan membunuh yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun jika sabit kesalahan.

Hari ini Kosmo! melaporkan, tiga penjenayah warga asing ditembak mati polis dalam kejadian di Desa Vista, awal pagi tadi.

Timbalan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (Risikan/Operasi) Bukit Aman, Datuk Fadil Marsus berkata, suspek sebelum itu dikatakan bersembunyi di kawasan hutan selepas cuba menyamun sebuah rumah berhampiran. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI